Sejarah
Pengasas perguruan Silat Seni Gayong Malaysia adalah Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim, cucu kepada Daeng Kuning. Daeng Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah satu daripada lima adik-beradik anak raja Bugis yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tempat untuk memulakan penghidupan baru. Tempat pendaratan mereka pada ketika itu disebut sebagai Pengkalan Aur yang mana kini lebih dikenali sebagai Air Kuning, Taiping. Baginda terus menetap di situ sementara yang lainnya meneruskan pengembaraan mereka. Daeng Kuning mangkat di Taiping dalam tahun 1875.
Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim, waris keturunan Daeng Kuning telah dilahirkan di Taiping pada 17hb Ogos 1915. Beliau mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada datuknya, Syed Zainal Abidin Al-Attas. Syed Zainal atau Tuk Jenai pada ketika itu adalah seorang penghulu di Pekan merupakan seorang pendekar Pahang yang terkenal dengan perjuangannya menentang penjajahan Inggeris bersama-sama Allahyarham Mat Kilau, Dato’ Bahaman (orang Kaya Semantan) dan rakan-rakannya. Beliau telah berundur dan berkeluarga di Taiping hinggalah dikurniakan beberapa orang anak, diantaranya Syarifah Alauyah iaitu ibu kepada Dato’ Mahaguru Meor Abdul Rahman.
Setelah ilmu persilatannya dikhatamkan, Dato’ Meor Abdul Rahman mula dikenali ramai. Ketika berumur 19 tahun, beliau telah dipanggil menunjukkan kebolehannya di hadapan Paduka Seri Sultan Perak, Almarhum Sultan Alang Iskandar di Istana Bukit Chandan dan diberi gelaran Panglima Sendo Perak (The Invincible Warrior of Perak) dan tinggal di istana buat beberapa ketika sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.
Kehebatan Dato’ Meor Abdul Rahman dalam bidang persilatan turut menyerlahkan dirinya ketika berhijrah ke Singapura pada tahun 1938. Beliau merupakan anak Melayu pertama ditugaskan sebagai jurulatih seni mempertahankan diri kepada Signal Corps dibawah pemerintahan Lt. Kol Pope di Gullman Barrack, Singapura. Kerana tidak mahu dirinya dijajah, beliau berundur ke Pulau Sudong, 12 km dari Singapura dalam tahun 1941 apabila tentera Jepun menyerang Singapura. Disinilah kali pertama Silat Seni Gayong mula diperkenalkan kepada sekumpulan tujuh orang belia, iaitu pada 17hb Februari 1942 jam 11.00 pagi. Di pulau tersebut dan pulau-pulau sekitarnya, beliau telah membuktikan kepintaran dan keberaniannya memperdaya, menewaskan tentera Jepun serta melindungi penduduk di pulau tersebut.
Atas kegigihan beliau, maka merebaklah pengaruhnya hingga Silat Seni Gayong berkembang ke pulau-pulau Indonesia, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Diatas jasanya yang cemerlang ketika bertugas di cawangan jenayah serta sumbangannya kepada Kerajaan British ketika menentang pendudukan Jepun di Singapura dan Malaya, beliau telah dikurniakan pingat King George V oleh baginda Ratu Elizabeth yang mana pada ketika itu Dato’ Meor Abdul Rahman telah pun menjadi anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah, Singapura.
Dato’ Meor Abdul Rahman terus gigih mengembangkan Silat Seni Gayong ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura bermula dari tahun 1948. Setelah bersara dari pasukan polis, beliau telah menubuhkan Seni Gayong School di Woodland, Singapura pada 3 Disember 1960.
Pada tahun 1959, Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union telah masuk menjadi ahli Silat Seni Gayong. Memandangkan sambutan terhadap seni silat ini begitu menggalakkan, beliau mencadangkan supaya ianya didaftarkan. Hasil usaha nasionalis Melayu ini serta Dato’ Meor Abdul Rahman sendiri, seni silat ini telah berjaya didaftarkan di Johor bahru pada 22hb Oktober, 1963 (No. Pendaftaran 361) atas nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Ianya merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali berdaftar dan kini merupakan perguruan silat terbesar di Malaysia.
Silat Seni Gayong terus berkembang pesat di Semenanjung Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Meor Abdul Rahman. Usaha dan pengorbanannya mengembangkan seni silat ini telah dirakam oleh Paduka Seri Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Idris dengan pengurniaan pingat Darjah Paduka Cula Si Manja Kini (DPCM) yang membawa kepada gelaran Dato’. Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Md. Hashim mangkat di Taiping pada 23hb Jun 1991 ketika berusia 76 tahun.
Kronologi Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman
Daing Kuning tujuh bersaudara mendarat di Kuala Larut, tempat mendarat dinamakan Pangkalan Alur atau Relur Tujuh(kini dikenali sebagai Ayer Kuning).Hanya Daing Kuning yang terus menetap dan bertapa di situ(gua tempat pertapaan Daing Kuning masih lagi wujud dan terletak di Bukit Larut). Daing Kuning berkahwin dengan seorang puteri Raja Pattani dan dikurniakan anak iaitu Penghulu Che Ngah Tambah. Che Ngah Tambah ialah seorang pembesar negeri Perak(Orang Besar Lapan).
1875
Daing Kuning meninggal dunia dan dimakamkan di Kampung Tupai, Taiping. Che Ngah Tambah mempunyai empat orang isteri. Dari salah seorang isterinya, beliau dikurniakan seorang anak lelaki yang dinamakan Uda Mohd.Hashim. Anak-anak beliau yang lain ialah Long Khatijah(Long), Mariah(Yah), Aminah(Minah), Mariam(Yam); isteri lain – Alang Ahmad, Putih Mat Salleh, Ahmad dan Abdul Wahab.
Awal 1900-an
Uda Mohd.Hashim bernikah dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas(seorang janda cantik). Mereka telah berpindah dari Ayer Kuning ke Kampung Lake Garden, Taiping(dikurniakan tiga orang anak – Meor Abdul Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Sa’diah di samping tiga anak daripada suami pertama Sharifah Aluyah iaitu Alin, Hendon dan Putih).
21 Ogos, 1915
Meor Abdul Rahman dilahirkan di Kampung Lake Garden.
1925
Berpindah ke Kampung Pokok Assam. Bersekolah di Sekolah Melayu Taiping (di Kamunting).
1928
Mula belajar Silat Seni Gayong daripada datuknya,Syed Zainal Al-Attas bersama-sama dengan 40 rakan.
1931
Tamat mempelajari Silat Seni Gayong, tetapi tidak dikhatamkan.
1933-35
Bersekolah di Sekolah Inggeris Kamunting dan Government Trade School, Ipoh.
Sering menziarahi kakaknya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah(bersuamikan Zainal Abidin, seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor di Balai Polis Kota Sarang Semut).
1936
Menetap di rumah baru Hendon di Kuala Nerang, Kedah(Zainal Abidin dinaikkan pangkat ke pangkat ASP dan bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Nerang).
Berkawan dengan Tengku Nong, anak saudara Tunku Abdul Rahman.
Berkenalan dengan Tok Mek Jah(berasal dari Menam, selatan Thailand)di pekan Rabu, Kuala Nerang.
Mengikuti Tok Mek Jah pulang ke Menam. Perjalanan menembusi Padang Sanai(bertanding dengan juara tomoi),Padang Terap(menemui Tok Choh), Kuak(menginap di rumah Lenchon, ketua kampung Siam; patahkan duit syiling perak untuk mengelak daripada bertarung dengan jaguh tomoi tempatan), Menam(dinding rumah penduduk diperbuat daripada kulit binatang).
Di dalam hutan Menam, Meor Abdul Rahman dikhatamkan oleh Hang Tuah(dalam mimpi?) di batu hitam(batu hitam ini sekarang telah ditenggelami air untuk dijadikan empangan).
Meor Abdul Rahman telah menghadap Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar di Manong dan menyembahkan taat setia. Beliau telah diuji dengan pelbagai ujian oleh Sultan. Sultan berpuas hati, memberi gelaran "Panglima Sendo Perak", dan berkenan mengambil beliau sebagai anak angkat. Meor Abdul Rahman diminta tinggal di istana.
1938
Sultan Alang Iskandar mangkat.
Meor Abdul Rahman kembali semula ke Kampung Pokok Assam. Beliau telah dikahwinkan dengan Kalsom binti Hj.Kechik di Kota Sarang Semut. Kalsom adalah orang tempatan Kota Sarang Semut dan telah tinggal bersama Hendon sejak Hendon menetap di Kota Sarang Semut lagi. Selepas berkahwin, mereka suami-isteri menetap di rumah Hendon di Kuala Nerang.
Penghujung 1938
Meor Abdul Rahman merantau ke Singapura bersama Zainal Abidin(sepupu).
Bekerja sebagai tukang kimpal di Naval Base. Naval Base baru sahaja dibuka dan dirasmikan pada ketika itu.
Pertengahan 1939
Bekerja sebagai mekanik di Royal Signal Corps, Gillman Barrack.
Menewaskan guru kombat yang berasal dari Hong Kong lalu dilantik menjadi guru kombat Royal Signal Corps yang baru.
Membawa isteri, Kalsom binti Hj.Kechik ke Singapura.
1941
Pulang ke Kota Sarang Semut.
Tinggalkan isteri, Kalsom binti Hj.Kechik yang sedang sarat mengandung di rumah Hendon di Kuala Nerang.
Dalam perjalanan pulang ke Singapura, beliau singgah di Taiping untuk menziarahi sepupunya, Nuteh binti Alang Ahmad. Beliau telah terpikat dengan anak Nuteh, Faridah binti Yusof(Anin).
Tidak lama selepas itu, beliau telah berkahwin dengan Faridah dan dibawa ke Singapura.
Menyewa bilik di Bushi Park, Prince South Street(dekat pawagam Cathay); kemudian disertai oleh Kalsom binti Hj.Kechik.
1942
Berpindah ke Raden Mas (di Kampung Baru). Menyewa sebuah rumah(dua isteri, ibu mertua, adik ipar lelaki, dan anak,Fadhilah).
Februari,1942
Perang Dunia Kedua meletus di Singapura. Meor Abdul Rahman telah membina kubu bawah tanah.
Berpindah ke Batu 5 ½ Pasir Panjang(ada jeti di situ). Kemudian berperahu ke Pulau Sudong.
17 Februari,1942
Pukul 11.00 pagi, di rumah penghulu Pulau Sudong, tujuh orang murid pertama Gayong: Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Mustapa, Kekeh, Wak Bendol dan Wak Kusang diperlimausintukkan.
Berjaya menyelamatkan penduduk wanita Pulau Sudong daripada ancaman keganasan tentera Jepun.
Pertengahan 1942
Kembali ke Taiping.
1943
Dituduh menderhaka oleh tentera Jepun, lalu beliau telah ditangkap dan dipenjarakan di Taiping.
Dijatuhi hukuman gantung tetapi beliau telah melawan, kemudian dibebaskan. Dua minggu kemudian dipaksa menyertai tentera Jepun sebagai polis Jepun (Kempeitai). Ditugaskan di Taiping dan kemudian di Ipoh (Kampung Selibing).
Berkahwin dengan Syarifah Rehan binti Syed Chik(saudara sebelah ibu)(sebulan kemudian berpisah).
1945
Kembali semula ke Pulau Sudong dan ditawarkan menjadi Penghulu Besar.
Gayong berkembang di wilayah Indonesia.
Pulau Sudong menjadi Pusat Silat Seni Gayong.
1947
Berpindah ke Singapura kerana ditawarkan bekerja di Malayan Secret Service - Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura(ditugaskan menahan orang politik).
Empat bulan kemudian, mohon bertukar jabatan - bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah (ditugaskan di bahagian Merinyu Timbangan – mencegah penyeludupan dan penipuan dalam timbangan).
Dari Bahagian Merinyu Timbangan, kemudian berpindah ke Balai Polis Central, Singapura(mata-mata gelap berpangkat Sarjan).
Tinggal di tingkat dua, Kuarters Polis, Jabatan Siasatan Jenayah.
Memiliki motosikal Triumph sebagai kenaikan.
Isteri kedua, Faridah belajar menjahit di Geylang Serai manakala isteri pertama, Kalsom tinggal di rumah mengasuh anak.
23 Disember,1947
Dikurniakan pingat King George VI oleh Kerajaan British.
1949
Gayong diperkenalkan kepada rakan-rakan di Jabatan Siasatan Jenayah. Tujuh orang murid pertama di tanah besar Singapura; antaranya Ahmad Suni, Mansor Fadal, Sinwan(CID), Jonid Hanim(CID), Salim(CID) dan Hosni Ahmad.
Bakar Sampah menjadi pusat latihan Gayong bagi tahun 1950-an.
1954
Barisan wanita pertama sertai Gayong(kedua-dua isteri Mahaguru, Che Asmah/isteri Jonid, Aisyah/isteri Mansor Fadal, Rafeah Fadal, Hindun, Intan). Diserahkan di bawah pengawasan Ustaz Salim dan Said.
Jonid telah dilantik menjadi Wakil Tunggal di Singapura semasa ketiadaan Mahaguru.
1955
Gayong berkembang di Studio Jalan Ampas.
Antara yang menyertainya ialah Jasni Ahmad, Neng Yatimah(ibu bapa Roseyatimah), Kasma Booty, A.Rahim, dan Nordin Ahmad. Kasma Booty ialah wanita pertama yang diuji berjalan di atas bara api serta lengannya dituris dengan pisau.
Gelanggang Gayong di Singapura pada tahun 1950-an:
Bakar Sampah
Jalan Red Hill(Jonid)
Kg.Ubi(Jonid)
Sek.Men.Victoria(Hussain Kaslan)
Balestiar Road(Jasni Ahmad)
Kg.Tentera British(Nordin Abd.Rahman)
Kg.Melayu(Abbas)
Sim Avenue(Mansor Fadal dan Jonid)
Paridah menjalankan kelas jahitan di Batu 4 ½ Pasir Panjang(rumah kedai dua tingkat). Meor Abdul Rahman telah berpindah ke tingkat atas kedai(tingkat bawah disewa oleh Faridah).
Murid Gayong bertambah ramai - Meor Abd.Rahman melantik Hosni Ahmad membantu Jonid mengajar di gelanggang serta menjalankan perlimau adat.
Berpindah ke Alexandra(menyewa rumah teres batu).
Faridah menjadi guru jahitan di Alexandra, Bukit Timah, Tanjung Pagar dan di Sekolah Latihan Polis, Thompson Road.
1957
Tengku Kassim, Tengku Laksamana Kedah datang ke Singapura menemui Meor Abdul Rahman.
Rombongan Silat Seni Gayong seramai 43 orang mengadakan persembahan silat di Sultan Abdul Hamid Sport Club.
Berpindah pula ke Woodlands(setelah dua tahun menetap di Alexandra).
Meor Abdul Rahman membina dua rumah papan(terletak dekat dengan kem tentera dan berhampiran pantai).
Kalsom membuka kedai runcit. Faridah mengajar jahitan di Balai Keranji, Woodlands.
Pusat Latihan Silat Seni Gayong ditubuhkan di Lorong Fatimah, Woodlands.
1958
Perkhataman keris kali kedua di Melaka.
1959
Dato’ Onn Jaafar bertemu dengan Meor Abdul Rahman dan melamar untuk menjadi ahli Gayong. Dato’ Onn telah dilantik sebagai Penasihat dan Waris Beradat Gayong.
Meor Abdul Rahman diundang ke Melaka untuk mengadakan persembahan silat di Bukit Lintang.
Lembaga Beradat Gayong mula dibentuk dengan perlantikan Orang Besar 4,Orang Besar 8, Orang Besar 16 dan Orang Besar 32.
Meor Abdul Rahman bersama Dato’ Onn Jaafar serta rombongan Gayong dari Singapura telah melawat Kedah.
1961
Meor Abdul Rahman bersara daripada perkhidmatan kerajaan(kepolisan) dan menumpukan sepenuh perhatian untuk mengembangkan Gayong, berpusat di kediamannya, di No.13A, Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura.
9 Disember 1961
Sharifah Aluyah meninggal dunia dan dimakamkan di Ayer Kuning.
1962
Meor Abdul Rahman melawat Kedah, dan membawa guru-guru dari Kedah untuk mengembangkan Gayong di Negeri Sembilan, Johor dan Singapura.
Meor Abdul Rahman telah mendaftarkan Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan berdaftar. Dato’ Onn telah merangka perlembagaan pertubuhan.
November 1962
Meor Abdul Rahman membawa guru-guru Kedah di Singapura bergerak naik ke Melaka dan membuka gelanggang di Taboh Naning, Alor Gajah dan Bukit Lintang.
Disember,1962
Meor Abdul Rahman melantik Abd.Majid Mat Isa menjadi Gurulatih Tertinggi merangkap Timbalan Pengarah Silat Seni Gayong.
Januari,1963
Meor Abdul Rahman bersama rombongan Gayong dari Singapura melawat ke Kedah.
Mac,1963
Meor Abdul Rahman membawa tujuh orang guru dari Kedah untuk kembangkan Gayong ke seluruh Tanah Melayu. Tiba di Perak, buka gelanggang di Kampung Ayer Kuning, Kampung Terong dan Kampung Lubuk Terong. Dari Perak, rombongan seterusnya menuju ke Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura.
Meor Abdul Rahman telah memanggil semua guru yang bertugas di Semenanjung untuk menghadiri kenduri perkahwinan Fadhilah di Lorong Fatimah, Woodlands.
22 Oktober,1963
Pendaftaran Silat Seni Gayong diluluskan dan dikenali sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong dengan nombor pendaftaran 361.
1964
Mesyuarat Agung PSSGM pertama di Gurun ,Kedah. Meor Abd.Rahman(YDP) dan Meor Abdul Aziz(NYDP).
Ibu pejabat PSSGM berpindah ke Kota Sarang Semut – Meor Abdul Rahman turut berpindah dari Singapura dan menetap di Kedah.
Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong telah berpindah dari Woodlands, Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah. Bagaimanapun, upacara adat istiadat dijalankan di Ayer Kuning, Taiping.
Gayong Perdana yang pertama diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar dan dirasmikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abd.Halim Muadzam Syah.
18 Februari,1964
Uda Mohd.Hashim meninggal dunia dan dimakamkan di Ayer Kuning.
1965
Perdana Gayong kedua diadakan di Stadium Kubu, Melaka.
1966
Meor Abdul Aziz meninggal dunia.
1967
Istiadat pertabalan ahli Lembaga Beradat diadakan di Ayer Kuning, Taiping.
31 Ogos,1967
Sambutan 10 tahun Merdeka - 500 orang ahli Gayong telah mengetuai perbarisan.
1969
Meor Abdul Rahman menetap di Ayer Kuning, Taiping.
Dato’ Harun Hj.Idris diisytihar sebagai Imam Khalifah Selangor.
1970
Meor Abdul Rahman bersama Setiausaha Agung PSSGM dan dua gurulatih Gayong Selangor diundang ke Osaka, Jepun (mengadakan persembahan silat selama dua minggu di Osaka ‘70).
Balai adat PSSGM dibentuk di Ayer Kuning.
27 Januari,1971
Balai Adat dan Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Syah. Sultan Idris bersetuju menjadi Penaung Agung Silat Seni Gayong Malaysia
1971
Meor Abd.Rahman dikurniakan darjah kebesaran Dato'Paduka Chura Simanjakini(DPCM) oleh Sultan Perak(membawa gelaran Dato’) dan Dato’ Meor Abdul Rahman telah menggelarkan Sultan Perak, Sultan Idris Syah dengan gelaran Sang Sapurba Negara.
Silat Seni Gayong diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia.
1973
Silat Seni Gayong diperkenalkan kepada Polis Diraja Malaysia.
Dato’ Meor Abdul Rahman menewaskan Bruce Lee di Hong Kong.
1974
Balai Adat baru dibina, khas untuk dilangsungkan upacara adat istiadat pertabalan, penganugerahan tauliah dan bengkung tertinggi.
Dato’ Meor Abd.Rahman melawat Sabah, bertemu Tun Datu Mustapha, Ketua Menteri Sabah.Tun Datu Mustapha telah dilantik sebagai Imam Khalifah Gayong bagi Negara-negara Islam.
Mac,1975
Tun Abdul Razak ditabalkan sebagai Timbalan Imam Khalifah Agung Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau.
1976
Dato’Meor Abd.Rahman dan isteri pertama, Kalsom Hj.Kechik melawat Sarawak, bertemu dengan Datuk Patinggi Hj. Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak.
11 Disember,1976
Televisyen BBC London merakamkan upacara Mandi Minyak di Dewan Belia Kampung Pandan yang dijalankan oleh Dato’ Meor Abdul Rahman.
Julai,1977
Perkhataman keris kali kelima di Teluk Batik, Perak.
Ogos, 1977
Cikgu Abd.Majid Mat Isa dilucutkan jawatannya sebagai Gurulatih Tertinggi PSSGM oleh Dato' Meor Abdul Rahman.
April, 1978
Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia(PSSPGM) ditubuhkan dan didaftarkan di Pulau Pinang.
20-23 Februari,1985
Dato’ Meor Abdul Rahman melawat ke Brunei kali pertama. Menghadap Sultan Brunei.
Januari,1986
Datin Kalsom Hj. Kechik meninggal dunia.
19-21 Mac,1986
Dato’ Meor Abdul Rahman melawat Brunei kali kedua.
Dato’ Meor Abdul Rahman bersama Tuan Haji Ahmad Nayan bin Saad melawat London.
Disember,1987
Dato’ Meor Abdul Rahman menghadiri Kejohanan Silat Sedunia di Kuala Lumpur. Pengakuan aktor terkenal Indonesia, Dicky Zulkarnain bahawa bukan beliau yang menewaskan Bruce Lee tetapi Dato’ Meor Abd.Rahman.
Disember,1989
Pertabalan ahli Lembaga Beradat Selangor dan perlantikan Tan Sri Muhammad bin Muhd. Taib sebagai Imam Khalifah Gayong Selangor.
Mei,1991
Perkhataman keris terakhir yang dijalankan oleh Dato’ Meor Abd.Rahman di Port Dickson, Negeri Sembilan.
23 Jun,1991
Dato’ Meor Abdul Rahman meninggal dunia di Ipoh Specialist Centre. Beliau dimakamkan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Lama, Taiping.
Beliau meninggalkan seorang balu (Datin Faridah Yusof), seorang anak kandung (Siti Fadzilah) dan beberapa orang anak angkat.
No comments:
Post a Comment